Alhamdulillah tarikh 9 may 2013, telah kita tempuhi. Bagi pelajar UiTM diseluruh Malaysia, kita telah mendapat keputusan masing-masing. Tahniah bagi yang berjaya, lebih-lebih lagi yang mendapat keputusan dekan. Dan jangan berputus asa bagi yang menghadapi kegagalan atau keputusan yang tidak memuaskan. Kegagalan bukan satu titik noktah akhir, tetapi kegagalan adalah satu "benchmark" untuk menjamin masa depan.
Bagi yang mendapat keputusan cemerlang, jangan duduk selesa, lebih banyak dugaan selepas ini, dan bagi sesiapa yang menghabiskan diploma dengan keputusan cemerlang tahniah, semoga lebih banyak kejayaan yang bakal dikecapi.
Berbalik kepada tajuk yang saya ingin kupas, adalah berkenaan Dekan Bukan Penentu Masa Hadapan siswa dan siswi. Ini adalah kenyataan. Bukan hanya merujuk kepada pelajar UiTM tetapi seluruh pelajar institusi pengajian tinggi diseluruh Malaysia.
Ada yang menyatakan pendapat, jika mendapat keputusan 3 pointer atau dekan, kita dapat membina masa hadapan. ITU FAKTA YANG SALAH. Walaupun saya mengakui kenyataan itu benar, tetapi kita lihat pada hari ini, ramai dikalangan mahasiswa dan mahasiswi yang menganggur, sedangkan pelajar yang hebat dengan keputusan dekan pun menganggur apatah lagi pelajar yang kurang cemerlang.
Ini kita kena persoalkan sistem pendidikan negara. Baik pendidikan di sekolah mahupun diperingkat tertinggi. Adakah universiti hanya melahirkan pelajar yang hebat pada kertas dan menghafal teori . Dan ini sekaligus memaksa pelajar ini menumpukan pada teori dan tidak terdedah pada pratikal kursus tersebut. Jadi disini "softskill" kurang di "polish".
Hanya merujuk kepada keputusan ujian , tetapi pada keupayaan memikirkan sesuatu yang baru akan terbantut (R&D), kerana apa yang pelajar perlu lakukan adalah WAJIB untuk mengikut buku yang telah ditulis. Secara tidak langsung, apabila di pasaran, pelajar-pelajar ini akan hanyut, kerana tidak didedahkan dengan realiti dunia luar universiti yang sebenar dan kurang pengalaman selain tidak berani untuk bertindak.
Jika pembaca pernah menonton filem "3 idiot" ,saya rasa ramai yang memahami kritikan masyarakat yang dilontarkan disitu. Bagi yang belum menonton filem tersebut, saya sarankan anda untuk memahami perjalanan cerita tersebut.
Mengapa masih universiti kita tiada diperingkat 200 terbaik dunia???? saya rasa , semua tahu jawapan nya, dan tidak perlu saya terangkan.
Disini ada beberapa individu yang kita boleh jadikan teladan dan contoh.
Antaranya :
1) Syed al-bukhari, jutawan bumiputra yang hanya berkelulusan SPM.
2) kadhar shah ,Pengarah Urusan Nasmir Holding, memiliki 13 buah cawangan nasi kandar terkenal di P.Pinang , Kedah dan Perak. Pada usia 18 tahun bekerja sebagai pembuat roti canai di singapura dan bekerja selama 18 jam sehari.
3) Paul Otellini, Presiden dan CEO Intel Corp, salah sebuah syarikat terbesar komputer dunia. Beliau dipandang rendah dan dihina ketika zamannya kerana bekerja sebagai penjual bekas makanan. Namun dengan jati diri yang tinggi beliau menyambung pelajaran di UC berkeley ,walau pun pada masa itu masih lagi membuat kerja sambilan.
4) Thomas Edison. Pencipta lampu, yang menghadapi 700 kegagalan, namun akhirnya berjaya, kerana beliau percaya, kegagalan adalah satu kemenangan. Walaupun beliau tidak menghabiskan persekolahannya tetapi setiap yang dilaluinya dianggap satu pelajaran. Beliau memiliki pengetahuan lebih daripada mereka yang masuk universiti ketika itu. Hari ini ciptaannya mengubah dunia buat selama-lamanya.
5) Khusairie Bani Hashim. Usahawan Hartanah Melayu yang berjaya. Usia 21 tahun, berbekal wang RM 50 yang dipinjamkan oleh ibunya ke Kuala Lumpur, hanya bertahan selama sebulan. Hidup merempat di kaki lima Masjid India selama 3 bulan berturut-turut. Hanya makan roti canai dan minum air paip demi menjimatkan wang. Menjalankan dua pekerjaan sebagai tukang basuh pinggan di kedai mamak dan mendapat pekerjaan menjaga stor dengan pendapatan RM260. Seterusnya beralih kepada pencuci kereta dan pembuka kepada kejayaan beliau adalah apabila beliau menceburi bidang penjual kereta yang hanya mengharapkan komisen tetapi berjaya menjana pendapatan sehingga rm2000 sebulan. Akhir sekali beliau memberanikan diri untuk menceburi bidang hartanah. Kini, beliau mencapai kejayaan yang hebat dengan memiliki lima buah anak syarikat yang melibatkan bidang hartanah, kejuruteraan, bioteknologi, dan pelbagai bidang pelaburan yang melibatkan nilai berpuluh juta ringgit.
NAH! lihat pada kejayaan 5 individu ini, bukanlah pada akademik semata-mata. Tidak perlu menghadapi ujian yang merujuk kepada buku. Tetapi mereka berani membuat keputusan dan cekal dalam apa jua cabaran ditempuhi. Mereka juga berjaya mengawal ujian dunia luar yang sangat hebat dan bagi yang tiada kekuatan fizikal dan mental mereka akan tewas.
Apa yang saya ingin bangkitkan adalah, kita sebagai anak muda, harus kental, berani dan sentiasa memandang kehadapan dan perlu ada jati diri yang utuh. Apa jua cabaran yang kita hadapi kita kena tempuh untuk mendapat keputusan yang baik. Jangan belajar untuk menyalahkan pihak lain jika kita menemui kegagalan, bukan tanggungjawab pensyarah,kerajaan ibu bapa semata-mata, namun ianya bergantung pada diri sendiri sama ada mahu atau tidak melakukan perubahan. INGAT! pilihan kita hari ini adalah masa depan kita dihari mendatang.
Walaupun diatas kertas kita memang baik, dan kadang kala tidak dapat dipersoalkan, tetapi adakah mampu kita memenuhi permintaan pasaran yang mahukan tenaga kerja yang boleh memberikan keuntungan kepada sesebuah organisasi. Saya rasa anda mampu bertanya pada diri anda sendiri tentang hal ini.
Tidak perlu saya ulas lebih lanjut dan panjang lebar, masing-masing diantara kita manusia diberikan akal untuk berfikir dan membentangkan pendapat masing-masing. Sama ada yang bersetuju atau tidak bersetuju itu hak individu untuk memberi apa jua pendapat. Tepuk dada, tanya akal yang ada!
Sekali lagi, sekalung tahniah saya ucapkan kepada yang berjaya dalam mendapat keputusan yang cemerlang , tidak bermakna penulisan saya ini untuk menjatuhkan moral anda, tetapi untuk bersama-sama mengingatkan diri saya dan semua, cabarannya diluar sana lebih besar. Bagi yang gagal saya harap kisah kejayaan 5 individu tadi mampu menjadi pendorong kepada kebangkitan anda.
Semoga kita mencapai kejayaan didunia dan akhirat. in sha Allah.